Sunday 4 December 2011

Memberi dan menerima kritikan

Ada seni dalam mengkritik

Tidak semua orang suka apabila dikritik. Terutama apabila kritikan itu agak keras dan berbentuk negatif. Bagi saya dalam memberi dan menerima kritikan, tidak ada sesiapa pun yang akan terlepas daripadanya. Namun begitu, sebelum memberi kritikan sesungguhnya anda perlu tahu bagaimana untuk melakukannya dengan penuh adab dan sopan kerana jika tersalah kata akan membawa padah. Begitu juga apabila anda menerima kritikan, perlu juga ada cara serta adabnya. Berikut adalah apa yang mungkin anda boleh lakukan apabila memberi dan menerima kritikan sama ada di pejabat, internet atau di mana-mana sahaja.



Memberi Kritikan
1 - Tidak kiralah apabila anda mengkritik seseorang disebabkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukannya, janganlah mengkritiknya secara kasar. Buat dengan cara yang sopan dan lembut. Anda boleh melembutkan ’serangan’ melalui cara yang berhati-hati dan bijaksana.
Sebagai contoh, jika rakan sekerja membuat kesilapan, jangan sesekali berkata “Anda salah, Bagaimana anda mendapat jawapan sedemikian?” Sebaliknya, anda boleh berkata, “Saya mendapat jawapan yang berbeza. Bolehkan kita memeriksanya sekali lagi?”
2 - Jika seseorang mengkritik diri anda, apa yang sering kali mungkin anda lakukan adalah bersikap mempertahankan diri. Tetapi perlu diingat, setiap tindakan yang anda lakukan perlulah dihadapi dengan penuh tenang.

Sebagai contoh anda boleh berkata, “Saya fikir anda telah salah faham,” atau, “Jika begitu, eloklah kita melihat apa masalah sebenarnya”, atau, “Saya fikir perkara berikut tidak benar.”

3 - Elakkan penggunaan perkataan ‘tetapi’ kerana kadangkala ia akan menyebabkan seseorang itu naik marah dan mencetuskan sikap mempertahankan diri.

Sebagai contoh, daripada berkata “ucapan anda memang disampaikan dengan baik, tetapi…” adalah lebih baik anda berkata, “ucapan anda memang disampaikan dengan baik, dan lain kali saya cadangkan anda supaya menambah…”

4 - Apabila mengkritik, bercakaplah mengenai tingkah laku dan bukan mengenai personaliti seseorang yang dikritik. Sebagai contoh, jangan sesekali berkata ‘bodoh’ atau ’salah’.

5 - Jadikan komen anda sebagai sesuatu yang peribadi. Jangan sesekali mengkritik seseorang terutamanya ketika berada di hadapan orang dan khalayak ramai. Situasi ini boleh menyebabkan mereka yang dikritik berasa malu dan seterusnya boleh menyebabkan maruahnya tercalar di hadapan khalayak ramai.

6 - Jika mengkritik, pastikan anda memulakan dengan penghargaan. Cara sebegini dapat memberi kesan lembut terhadap perbualan yang bakal dilakukan.

Sebagai contoh, anda boleh berkata, “Anda seorang insan yang lemah lembut, sebab itulah saya terkejut apabila anda meninggikan suara terhadap mereka.”

7 - Kadangkala adalah lebih baik kritikan yang anda buat adalah dalam bentuk nasihat.
Sebagai contoh, daipada berkata, “anda tidak akan memperbaiki penulisan jika ada sentiasa menconteng,” lebih baik anda berkata, “Cubalah anda membentuk huruf dengan betul dan tulis perlahan-lahan.”


Menerima kritikan
1 - Jika terdapat sebarang ketidakpuasan terhadap kritikan, terimalah ia dengan hormat. Pastikan juga anda akan menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.

2 - Andai kritikan tersebut tidak wajar, jangan biarkan keadaan menjadi teruk. Pastikan juga anda tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menyebabkan anda menyesal di kemudian hari. Hindari perbalahan dengan berkata, “lebih baik kita berbincang apabila kedua belah pihak telah bertenang,” atau “lebih baik kita cari hari dan waktu yang sesuai untuk berbincang.”

3 - Jika seseorang mengkritik anda di hadapan orang lain, anda boleh berhenti melakukan sebarang kerja yang sedang anda lakukan atau berkata dan melihat ke arahnya atau anda juga berkata seperti ini, “Tolong beritahu pendapat atau kritikan anda secara peribadi, bukan di sini.”

4 - Apabila anda tidak pasti akan kebenaran kritikan yang diterima, anda boleh berkata, “Saya akan fikirkan mengenai perkara tersebut, dan nanti saya jumpa anda semula.”
 
5 - Jika anda betul-betul ada membuat kesilapan, adalah lebih bik jika anda meminta maaf dan berkata, “Saya tidak sengaja untuk berbuat sebegitu…, dan saya meminta maaf jika saya jika saya telah menyakiti hati awak.”

6 - Adalah tidak elok untuk menghina orang lain tetapi jika anda perlu untuk melakukannya, lakukanlah ia dengan penuh hormat dan gaya.

7 - Jangan mengambil sikap tidak bersetuju apabila seseorang mengkritik anda. Cuba untuk senyum dan berkata ‘terima kasih’.

8 - Apabila seseorang memuji akan kerja yang anda lakukan, jangan pula berkata, “Alaa…tak ada apa-apa,” ini sesungguhnya akan menghina orang lain, kerana ia seperti menunjukkan bahawa standart mereka adalah tidak setaraf dengan anda.

9 - Jangan sesekali menambah apabila diberi pujian. Sebagai contoh jika seseorang memuji masakan anda, jangan pula menambah seperti, “Sedap? Sebenarnya ia teramat sedap sehinggakan semua orang makan bertambah.

No comments:

Post a Comment